Monday, 11 January 2016

XPDC Air Terjun Seraya

Sempena pembukaan tirai tahun 2016 dan Kempen Discover Kedah 2016 yang bertemakan 'Kedah: Malaysia: Where it All Began', Pajero Club Malaysia & Friends (PCMF) Utara bersama Kedah Offroad Adventure Club (KOAC) dengan kerjasama Kelab Jimny Samurai Malaysia (KJSM) dan UUM4x4Sintok telah mengadakan satu XPDC yang dinamakan XPDC Air Terjun Seraya. Air Terjun Seraya ini terletak di dalam kawasan hutan simpanan daerah Padang Terap berdekatan dengan Durian Burung/Padang Sanai, Kedah yang jaraknya hanya 2km daripada sempadan Malaysia/Thailand. Pekan Durian Burung pula merupakan satu mukim dan bandar sempadan kedua dalam negeri Kedah yang menghubungkan wilayah Songkhla, Thailand.
XPDC ini dilakukan pada hari minggu pertama tahun ini dimana sebanyak 8 jalopi yang terdiri daripada 6 buah Mitsubishi Pajero, 1 buah Nissan Navara, dan 1 buah Suzuki Jimny dengan kekuatan seramai 15 orang. Ahli PCMF Utara dari Pulau Pinang iaitu Aboi dan Jan bertolak dari Seberang Perai seawal jam 6.30 pagi dan singgah di rumah Mie di Jitra untuk mengambil kambing yang telah disembelih dan diperap untuk dijadikan BBQ semasa perkhemahan di tapak perkhemahan nanti. Manakala ahli-ahli lain mula berkumpul di bengkel Jat Carera 4x4 Shoppe, antaranya Pak Wan, Madi Pomen, dan Cikgu Appit. Sementara itu, Pak Han bersama isteri dan Mat sedang menunggu konvoi di bengkel Din. Tepat jam 10:00 pagi, konvoi bergerak dari bengkel Jat Carera 4x4 Shoppe dan bergabung dengan team dari Changlun seterusnya menghala ke UUM.
Konvoi berhenti di hadapan UUM untuk berhenti makan dan menunggu Team Leader, Meijie Mosh dari KJSM / UUM4x4Sintok. Semua peserta XPDC, menjamu selera bagi mengisi perut memandangkan perjalanan ke destinasi belum lagi bermula dan pelbagai halangan dan kemungkinan perlu ditempuh sepanjang perjalanan sebelum tiba di destinasi. Semua peserta juga diberi taklimat berkaitan dengan tentatif jadual dan aktiviti XPDC oleh Project Leader, Jat Carera dan tatacara pemanduan secara berkonvoi dan gelombang radio amatur yang akan digunakan sepanjang XPDC oleh Team Leader, Meijie Mosh.
Tepat jam 11.45 pagi, konvoi yang diketuai oleh Meijie Mosh mula meninggalkan kampus UUM menghala ke Padang Sanai. Walaupun perjalanan onroad dari UUM ke persimpangan laluan offroad di Durian Burung hanyalah sejauh 35km, namun keadaan jalanraya yang rosak teruk akibat kegiatan perlombongan dan pembalakan dalam Hutan Simpanan Sungai Badak, Hutan Simpanan Koh Moi, dan Hutan Simpanan Genting Iboi. Walaupun begitu, keadaan ini tidak menyukarkan dan mematahkan semangat peserta konvoi kerana kesemua jalopi telahpun dibuat pengubahsuaian untuk keadaan jalanraya atau laluan yang lebih ekstrim.
Setelah hampir 1 jam, konvoi XPDC tiba di laluan masuk jalan offroad ke Air Terjun Seraya iaitu di Ladang Getah Bukit Ketapang, milik Tradewinds Plantation Berhad. Team Leader memperkenalkan diri kepada pengawal keselamatan ladang tersebut tujuan peserta konvoi dalam XPDC ini, maka palang pintu pun dibuka menandakan konvoi telah diberikan keizinan untuk melalui kawasan tersebut. Walaupun perjalanan offroad ke tapak perkhemahan Air Terjun Seraya tidaklah jauh iaitu lebih kurang 8km sahaja, namun laluan yg berbatu-batu dan berdebu di dalam ladang getah dan dusun buah-buahan milik persendirian menyukarkan penglihatan pemandu di belakang. Peserta konvoi juga perlu mendaki dan menuruni bukit, melalui jambatan sempit serta melintasi anak sungai untuk sampai ke destinasi. Air Terjun Seraya ini tidak mempunyai papan tanda atau pandu arah dan boleh menyebabkan peserta konvoi sesat di dalam ladang getah dan hutan simpan ini. Namun, bagi otai Meijie Mosh yang sudahpun ke lokasi ini sejak dari tahun 2000 lagi, ini bukanlah masalah besar walapun terpaksa berpatah balik mengikut laluan alternatif kerana laluan ditutup akibat tanah runtuh. Lebih kurang 1km ke destinasi, kelihatan air terjun di antara dua buah bukit berlatarbelakang hutan simpan Bukit Keramat. Akhirnya, hampir jam 2 petang, peserta konvoi tiba ke destinasi yang telah dirancang berminggu-minggu lamanya.
Setibanya konvoi ke lokasi, peserta merehatkan diri beberapa minit dengan meletakkan kaki di dalam air ataupun bersantai di atas batu-batu berhampiran air terjun tersebut. Hampir 30 minit peserta melepaskan penat dengan merehatkan diri menikmati flora dan fauna, kini tibalah masanya utk peserta bersama-sama bekerjasama mendirikan khemah/bumbung untuk melindungi peserta dari hujan, panas, ataupun angin . Project Leader mengarahkan semua peserta bersama-sama tolong menolong antara satu sama lain. Kerjasama yang baik antara peserta menyebabkan tapak perkhemahan dapat didirikan dengan masa yang singkat. Setelah itu, semua peserta mengeluarkan barang-barang untuk di masak memandangkan waktu yang hampir lewat serta keadaan perut yang lapar. Chef Aboi dibantu oleh rakan-rakan lain mula menyediakan tempat memasak serta membakar arang untuk membuat BBQ seekor kambing yang telah disedekahkan oleh Pak Han sehari sebelum XPDC bermula. Selain daripada BBQ kambing, ikan siakap sebesar 10kg hasil tangkapan Mie juga menjadi sajian utama makanan pada petang tersebut. Diantara menu lain, termasuklah daging rebus, daging masak kunyit, air asam, ikan goreng, dan buah betik. Apabila makanan selesai dihidangkan, semua peserta berkumpul bersama-sama menikmati rezeki pada petang itu dengan berlatarbelakangkan deruan air terjun sebagai muzik latar. Setelah selesai makan dan berkemas barang-barang makanan, peserta mula sibuk dengan hal masing-masing. Ada diantaranya mula mengeluarkan barang-barang peribadi seperti katil, khemah, hammock, pakaian sebagai persediaan sebelum malam melabuhkan tirainya. Ada pula yang mengambil peluang untuk bermandi-manda membasuh badan yang kotor dan berpeluh bagi menyegarkan badan setelah seharian memandu dan menyediakan makanan.
Apabila malam menjelang, lampu yang disambungkan ke kepala bateri mula dihidupkan untuk menerangi kawasan perkhemahan bagi memudahkan pergerakan serta mengelakkan binatang buas menghampiri tapak perkhemahan. Semua peserta berkumpul dibawah khemah sambil berbual-bual kosong menceritakan pengalaman dan berkongsi cerita masing-masing dihidangi air kopi Vietnam serta makanan ringan seperti kuaci, mamee, keropok dan juga makanan yang belum dihabiskan pada petang tadi. Memandangkan tiada aktiviti pada malam hari dan juga ketiadaan line telefon/internet, maka terdapat juga dikalangan peserta mengambil peluang untuk tidur lebih awal bagi merehatkan badan untuk menyambungkan aktiviti pada esok pagi dan ada juga yang terus berbual sehingga jam 3 pagi ditemani cengkerik dan unggas-unggas hutan serta deruan air terjun.
Zzzzz……
Pagi yang hening dan nyaman dikaki air terjun Seraya menjadikan suasana agak tenang. Pak Wan mengambil tugas sebagai chef mula menjalankan tugasnya menyediakan sarapan pagi. Menu utama adalah nasi goreng beserta telor dadar dan minuman teh tarik serta kopi ‘O’ panas. Apabila sarapan pagi siap dihidangkan semua peserta sarapan bersama-sama dan menyambung perbualan yang belum habis. Setelah sarapan, peserta2 yang berminat untuk mendaki air terjun Seraya di minta bersiap dan membuat persediaan yang bersesuaian.
Jam 9.30 pagi, aktiviti mendaki air terjun Seraya sehingga ke puncak bukit pun bermula diketuai oleh Team Leader, Meijie Mosh. Di antara peserta yang turut serta termasuklah Pak Wan, Din, Mat, Co-pilot Pak Wan, Jan dan Cikgu Appit. Ketinggian air terjun Seraya dianggarkan melebihi 500 kaki dengan jarak perjalanan melebihi 350m. Perjalanan ke puncak persimpangan air terjun agak sukar kerana peserta terpaksa mendaki mengikuti laluan air terjun dan ada kalanya terpaksa memanjat batu pada sudut 90°. Pada pertengahan perjalanan, Jan dan Cikgu Appit terpaksa berpatah balik ke campsite kerana kehabisan tenaga. Setelah 2 jam mendaki, maka rombongan yg meneruskan perjalanan mendaki sampai ke persimpangan air terjun seraya. Walaupun begitu, air terjun ini belum tamat disitu kerana masih terdapat banyak lagi deruan air yang turun dari bukit sebelah kanan menghala ke sempadan Thailand. Namun, peserta mengambil keputusan untuk pulang turun ke campsite memandangkan matahari sudah hampir berada di atas kepala. Perjalanan turun tidak mengambil masa yang lama kerana Team Leader memutuskan untuk turun melalui denai2 hutan yang berhampiran laluan air terjun.
Setelah selesai xtvt mendaki dan menuruni air terjun Seraya, semua peserta berkumpul semula di campsite dan mandi-manda serta bergambar bersama-sama. Selepas itu, aktiviti mengemaskan tapak perkhemahan pun bermula. Setelah semua sampah2 dikumpulkan ke dalam plastik sampah dan dimuat ke dalam jalopi masing2, konvoi sedia bergerak untuk pulang. Team leader sekali lagi dipertanggungjawabkan untuk mengepalai konvoi keluar dari air Terjun Seraya. Dalam perjalanan pulang, jalopi Jat Carera mengalami kerosakan enjin dan terpaksa ditunda oleh jalopy Black Buffalo sehingga ke bengkel beliau. Konvoi singgah di Restoran Kak Na, Padang Sanai untuk menjamu selera bagi mengisi perut yang berkeroncong. Selesai sudah makan tengahari jam 3.30 petang, konvoi bergerak keluar dari Padang Sanai melalui jalan UUM ke destinasi masing-masing.
Satu lagi destinasi pelancongan dalam negeri Kedah yang patut dilawati oleh pembaca dan orang ramai sempena Discover Kedah 2016.










Friday, 1 January 2016